Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan memaklumkan, sesi itu adalah untuk memperjelaskan fakta-fakta dan mengumpul maklumat tambahan di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.
Kata SPAD, pihaknya akan berkongsi maklumat berkaitan pemandu dan pengusaha terlibat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan tindakan tegas serta pantas dapat diambil terhadap pemandu yang tidak bertanggungjawab itu.
“Suruhanjaya berperanan sebagai badan kawal selia dan pelesenan kepada bas ekspres manakala PDRM menguatkuasakan aspek undang-undang jenayah,” katanya.
Kenyataan itu bertujuan mengulas rakaman video berdurasi 1 minit 3 saat yang memaparkan aksi seorang lelaki yang dipercayai pemandu bas ekspres memukul penumpang kerana mereka telah tidur di kerusi rehatnya seperti tersebar di media sosial.
Mangsa yang dalam perjalanan pulang selepas menghadiri upacara keagamaan sempena Thaipusam di Pulau Pinang, telah dipukul beberapa kali dengan selipar malah ditampar serta ditendang oleh pemandu bas terbabit.
Tegas SPAD, pihaknya memandang serius perkara tersebut dan telah berhubung dengan penumpang terlibat bagi merekodkan kenyataannya.
“Kami rasa kesal atas pengalaman buruk yang telah dialami oleh penumpang tersebut. Malah, SPAD juga telah menggesa penumpang tersebut membuat laporan polis dan susulan itu, laporan telah dibuat pada 28 Januari lalu di Balai Polis Melaka Tengah,” jelasnya.
Dalam pada itu, SPAD menggesa orang ramai yang pernah mengalami pengalaman sedemikian untuk tampil membuat aduan menerusi e-mel aduan@spad.gov.my atau menghubungi talian hotline di 1-800-88-7723 bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
SPAD berkata, dengan maklumat yang tepat, pemandu yang tidak bertanggungjawab dapat dikenal pasti dan tindakan dapat diambil dengan pantas.
“Justeru, SPAD memerlukan butiran seperti nama penuh pengadu, nombor telefon, nombor pendaftaran kenderaan, lokasi, masa dan tarikh kejadian,” katanya.
Menurut kenyataan itu, bahan bukti tambahan seperti rakaman audio atau video atau maklumat yang membolehkan SPAD menghubungi saksi-saksi akan meningkatkan keupayaan pihaknya untuk bertindak terhadap pemandu.
“Suruhanjaya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan pengusaha bas ekspres supaya terus memantau dengan teliti dan mendisiplinkan pemandu sekiranya terdapat salah laku,” katanya.