Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

Pemaju bangunan runtuh ditahan


SEORANG wanita diselamatkan oleh anggota penyelamat selepas sebuah bangunan apartmen tumbang semasa gempa bumi di bandar Tainan, Taiwan pada Sabtu lalu. - AGENSI


TAINAN, Taiwan – Pihak pendakwa raya semalam menyoal siasat pemaju sebuah kompleks apartmen yang runtuh semasa gempa bumi dan menyebabkan 16 orang masih terperangkap di bawah runtuhan infrastruktur tersebut.
Siasatan pihak berkuasa mendapati terdapat kecacatan pada bangunan tersebut.
Pihak pendakwa raya di bandar Tainan, selatan Taiwan melakukan siasatan berhubung tragedi itu selepas gambar-gambar yang tersebar di internet menunjukkan tin dan busa digunakan untuk mengisi ruang kosong dalam kerangka konkrit bangunan itu.
Mahkamah Daerah Tainan menahan pemaju hartanah berkenaan, Lin Ming-hui dan dua individu lain lewat kelmarin selepas mereka disoal siasat di pejabat pendakwa raya.
Setakat ini, sejumlah 43 orang disahkan meninggal dunia dan 95 yang lain masih hilang selepas pangsapuri Wei-kuan setinggi 16 tingkat itu runtuh.
Struktur tersebut merupakan satu-satunya bangunan tinggi di bandar Tainan yang tumbang apabila gempa bumi kuat berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Taiwan awal pagi, Sabtu lalu.
“Suspek-suspek ini disoal siasat hari ini (semalam) tetapi memandangkan kes tersebut masih dalam siasatan, butiran terperinci mengenainya tidak dapat didedahkan kepada umum,” kata jurucakap mahkamah Tainan, Kuo Jen-shiow.
Media tempatan melaporkan, dua suspek lain yang dikenali sebagai Chang Kui-pao dan Cheng Chin-kui merupakan arkitek bangunan tersebut.
Menurut kenyataan mahkamah berkenaan, pihak pendakwa raya mendapati bangunan itu mempunyai bilangan tiang besi yang sedikit dengan tiang yang digunakan lebih nipis daripada sepatutnya.
“Dalam kes ini, terdapat banyak kelemahan dalam kerja pembinaan bangunan itu sekali gus menyebabkan struktur itu runtuh,” demikian menurut kenyataan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan penyelamat terpaksa menggunakan mesin pengorek dan beberapa jentera berat lain untuk mengalihkan bongkah konkrit bagi menyelamatkan orang ramai yang tertimbus di bawah runtuhan itu.
Kira-kira 175 orang berjaya diselamatkan termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun setakat semalam.
– AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3zoRlqEuH 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment