Bantahan anjuran Kumpulan Patriotik Eropah Menentang Pengislaman Barat (PEGIDA), mendapat sambutan di beberapa negara Eropah termasuk Poland, Perancis, Belanda, Republik Czech dan Britain dengan kehadiran beribu-ribu penyokong.
Pergerakan itu yang diasaskan pada 2014 di bandar Dresden, timur Jerman, membangkitkan isu tentang ancaman peningkatan jumlah pencari suaka politik yang dikhuatiri boleh menguasai negara tersebut.
Namun, selepas mendapat sambutan hambar pada awal tahun lalu, PEGIDA meraih semula sokongan kuat ekoran krisis kebanjiran pelarian yang membelenggu Eropah termasuk kira-kira 1.1 juta pelarian yang berlindung di Jerman.
Kes serangan terhadap golongan wanita yang didakwa didalangi kumpulan pelarian juga memberi kelebihan kepada PEGIDA untuk membantah rancangan Canselor Jerman, Angela Merkel memberi perlindungan kepada kumpulan pelarian itu.
Anggota PEGIDA, Siegfried Daebritz berkata, rakyat Jerman perlu menjaga dan mengawal kawasan luar serta dalam sempadan Eropah bagi mengekang kemasukan pelarian.
Polis Dresden enggan mendedahkan jumlah penunjuk perasaan anti-Islam yang terlibat tetapi media Jerman menganggarkan kehadiran seramai 8,000 orang, jauh lebih rendah daripada 15,000 orang yang disasarkan.
Di Poland, beratus-ratus penyokong PEGIDA melaungkan slogan menentang kehadiran penduduk Islam di Eropah selain membantah kebanjiran pelarian yang disamakan sebagai satu pencerobohan.
Poland menyertai Republik Czech, Slovakia dan Hungary mengambil pendirian tegas berhubung isu pelarian dan enggan mengambil jumlah pencari suaka politik yang ramai.
Sementara itu di Prague, kira-kira 20 orang dipercayai penunjuk perasaan PEGIDA bertindak ganas dengan membakar pusat perlindungan pelarian menyebabkan seorang mangsa cedera dan pihak polis masih menyiasat insiden tersebut.
Dalam perkembangan sama, beratus-ratus penunjuk perasaan propelarian, berarak di bandar Dresden bagi membantah agenda PEGIDA yang disamakan seperti fahaman Nazi Jerman. – REUTERS/AGENSI