Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, cada­ngan itu akan dikemukakan ekoran sikap pesalah lalu lintas yang masih terus melanggar undang-undang walaupun telah beberapa kali disaman dan membayar kompaun.
Menurut beliau, mereka juga tidak menghiraukan operasi-operasi lalu lintas contohnya Op Selamat 8 yang masih merekodkan jumlah saman dan kes kemalangan yang banyak.
“Usaha yang kita lakukan untuk mendidik pengguna jalan raya ter­utama pesalah lalu lintas ini seperti tidak berkesan kerana kesalahan masih tetap dilakukan.
“Jadi kita akan cadangkan kepada pihak kerajaan untuk menaikkan kompaun dalam tempoh terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Kereta Perodua Axia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Dr. Zahari Husin dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Ke­selamatan Komuniti, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.
Mengulas lanjut mengenai majlis itu, Khalid memberitahu, pihaknya telah menerima sebanyak empat buah kereta Perodua Axia sumbangan Perodua Sales Sdn. Bhd. bagi tujuan rondaan komuniti di kawasan penempatan dan perumahan.
“Dua buah kenderaan tersebut akan ditempatkan di Balai Polis Brickfields dan Taman Tun Dr. Ismail manakala dua buah lagi adalah bagi kegunaan Aman Wanita (Amanita) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan IPK Selangor,” ujarnya.