Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, pasangan itu yang berusia 31 dan 32 tahun dicekup dalam satu serbuan di sebuah rumah di Taman Tas di sini pada pukul 11 pagi dan menemukan dua unit telefon pintar serta sebuah tablet.
Katanya, susulan penahanan berkenaan, polis kemudian menemukan 19 unit telefon pintar pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM25,000 yang dijual suspek di sebuah kedai di Jalan Besar di sini.
“Kedua-dua suspek mengaku aktif melakukan kegiatan jenayah ini sejak enam bulan lalu dan modus operandi yang digunakan adalah suspek wanita berpura-pura solat dan mengambil kesempatan menggeledah beg tangan ketika mangsa sedang bersolat.
“Pasangan terbabit yang mempunyai dua anak ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan. Hasil ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Amphetamine,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Abdul Aziz meminta orang ramai yang pernah menjadi mangsa curi di surau awam di pusat beli-belah sekitar daerah ini tampil di IPD Kuantan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang pengawal keselamatan berusia 40 tahun ditahan polis setelah didapati memiliki selaras senapang angin buatan sendiri pada pukul 12.15 tengah malam semalam.
Menurut beliau, suspek sebelum itu yang dipercayai selesai makan di sebuah restoran kelihatan mundar-mandir dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan di sebuah kereta dipandu suspek, polis menemukan senapang angin buatan sendiri berserta 10 pemutar skru berukuran lima sentimeter dipercayai untuk digunakan sebagai peluru di bahagian penumpang belakang kenderaan itu.
“Suspek yang didapati mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan positif dadah jenis Amphetamine mendakwa senjata tersebut digunakan untuk mempertahankan diri semasa bertugas,” katanya.
Tambahnya, suspek yang berasal dari Perkampungan Cherating Damai di sini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.