Search This Blog

Wednesday, February 3, 2016

New Delhi hanyir sampah




SEEKOR anjing mencari makanan di celah timbunan sampah sarap di tepi jalan raya di New Delhi kelmarin.- AFP


NEW DELHI – Kebanyakan kawasan di ibu kota India, New Delhi diselubungi bau hanyir sampah yang seminggu tidak dikutip berikutan mogok oleh lebih 1,300 pekerja majlis perbandaran.
Sementara itu, di Mumbai pula, penduduknya menghirup udara kotor dengan Indeks Kualiti Udara mencatat bacaan amat tidak sihat sekitar 300 hingga 350 akibat kebakaran di tapak pembuangan sampah terbesar di kota raya itu yangmasuk hari kelima berturut-turut.
Sejumlah pekerja Perbadanan Majlis Perbandaran Delhi (MCD) bertindak melonggokkan sampah sarap di sepanjang jalan-jalan utama di New Delhi kerana membantah mereka tidak dibayar gaji selama tiga bulan.
Mogok itu semakin buruk sejak Ahad lalu selepas 16,000 guru sekolah dan kakitangan perubatan di bawah MCD bertindak menyertai bantahan tersebut.
Hampir 2.2 juta pelajar dari 1,860 sekolah di sekitar New Delhi terpaksa duduk di rumah kerana ketiadaan guru.
Dalam perkembangan berkaitan, kedua-dua pentadbiran negeri yang diperintah pembangkang, Parti Aam Aadmi (AAM) dan kerajaan pusat pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) saling menuding jari berhubung isu gaji tersebut.
“Perdana Menteri, Narendra Modi bercakap tentang bandar raya pintar dan India yang lebih bersih tetapi masih bermain politik dalam isu gaji kami. Bagaimana mereka ini dapat meningkatkan kualiti hidup kami?” soal seorang pekerja MCD di Delhi Lama yang teruk terjejas ekoran sampah yang menimbun tidak dipungut.
Berbalik semula ke Mumbai, hospital dan klinik di bandar raya itu melaporkan peningkatan jumlah orang ramai yang hadir mendapatkan rawatan akibat masalah pernafasan.
Kota raya itu dilitupi asap dari tapak pelupusan sampah Deonar yang masih terbakar sejak lima hari lalu.
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menyenaraikan 20 bandar raya paling tercemar di dunia, 12 darinya berada di India. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3z3VPnLfe 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment