Search This Blog

Monday, February 8, 2016

'Masih fobia'

Sabak Bernam: “Sehingga hari ini saya masih fobia dengan kejadian itu,” kata Syahmin Amira Roslan, 14, yang terbabit dalam kemalangan di Parit 16 Sungai Panjang hingga mengakibatkan kedua-dua kaki adiknya, Siti Nuraisyah Sahrin, 13, putus dari paras lutut.
Syahmin Amira berkata, kejadian pada 18 Januari lalu itu berlaku di depan matanya dan sukar untuk dia melupakan peristiwa mengerikan itu.
Menurutnya, ketika ini dia takut untuk menunggang motosikal, malah setiap hari dihantar ke sekolah oleh bapa atau ibu saudaranya.
“Cukuplah dengan kejadian yang menyayat hati ini...sukar untuk saya melupakannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Parit 16 Sungai Panjang di sini, semalam.
Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Terap itu berkata, dia pasti teringat bagaimana kaki adiknya digilis lori setiap kali melalui kawasan berkenaan.
Namun katanya, dia perlu kuatkan semangat untuk menghilangkan rasa fobia yang masih membelenggu diri.
“Saya sebak setiap kali mengenangkan kemalangan itu dan lebih menyedihkan apabila kerap melalui lokasi kemalangan untuk pulang ke rumah di Kampung Belia 2,” katanya.
Dalam kemalangan itu, Syahmin Amira terseliuh pada kaki kirinya dan kini sembuh, malah dia juga sudah bersekolah sejak beberapa minggu lalu.
Sementara itu, anak ketiga daripada tujuh beradik itu berkata, dia bersyukur kerana Ecah semakin sihat dan menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, di sekolah guru serta rakan Ecah kerap bertanyakan keadaannya, malah lebih 20 kad ucapan diterima yang mendoakan kesejahteraan dan kesihatan Ecah.
“Ramai bertanyakan keadaan Ecah dan saya sendiri menerima banyak kad ucapan yang mendoakan supaya Ecah kuat semangat serta cepat sembuh,” katanya yang kerap melawat adik tirinya di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 6:50 AM


ROSLAN di hadapan rumah yang dalam pembinaan di Parit 16, Sungai Panjang,Sungai Besar.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113402#sthash.wFuZ0puZ.dpuf

No comments:

Post a Comment