TAIPEI-TAIWAN. Kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina bagi sebuah keluarga pada Ahad lalu bertukar tragedi apabila lima ahli keluarga rentung dalam kebakaran yang dimulakan oleh ahli keluarga mereka sendiri.
Memetik laporan The China Post, suspek, Weng Jen-hsien, 51, menghilangkan diri selepas memulakan kebakaran di kediaman mereka di Taoyuan, mengorbankan kedua ibu bapanya dan tiga lagi adik beradiknya.
Pihak polis memberitahu, suspek yang merupakan adik bongsu dalam keluarga tersebut berdendam dengan ahli keluarganya yang lain.
Dipercayai, suspek mempunyai tanggapan bahawa salah seorang daripada saudaranya lebih disayangi ibu bapanya berbanding dirinya.
Suspek yang tidak bekerja dikatakan hidup bersama kedua orang tuanya dan memulakan kebakaran sebaik sahaja kesemua ahli keluarga pulang berkumpul untuk sambutan Tahun Baru Cina.
Abang sulung yang terselamat berkata kepada polis bahawa suspek telah menggunakan penyembur cat dan menconteng pada dinding bilik, meluahkan kemarahannya pada anggota keluarga itu.
“Dia juga mengugut ahli keluarga yang lain menggunakan pisau sebelum kami semua memulakan makan malam Tahun Baru Cina. Kemudian dia ke biliknya dan memulakan kebakaran dari situ,” kata abangnya yang tidak mahu dinamakan
.