SHANGHAI-CHINA. Kerajaan China dilaporkan telah mengeluarkan laporan rasmi siasatan letupan gudang kimia di Tianjin, Ogos tahun lalu.
Difahamkan, letupan tersebut telah mengorbankan 165 nyawa, mencederakan 798 orang dan memusnahkan harta benda di sekelilingnya.
Siasatan  yang diketuai oleh majlis negeri mendapati lebih 11,300 tan bahan merbahaya dan mudah meletup disimpan secara haram di gudang tersebut.
Memetik laporan portal Shanghaiist.com, gudang itu dimiliki oleh sebuah syarikat logistic antarabangsa.
Jumlah bahan yang terbakar dan meletup pada malam tragedi itu termasuk lebih 1000 tan bahan kategori mudah meletup dan terbakar, 800 tan ammonium nitrat, 680 tan sodium sianida dan 290 tan kapas nitro.
[ARTIKEL BERKAITAN: Letupan Tianjin, 12 individu ditahan]
Para penyiasat membuat kesimpulan bahawa letupan kuat yang terjadi pada malam tragedi disebabkan oleh pembakaran spontan kapas nitro di dalam bekas yang tidak mempunyai agen pembasahan yang akan menghalang letupan.
Kapas nitro yang dinyalakan  di bawah suhu tinggi dan pembakaran api pada bahan kimia berbahaya, termasuk ammonium nitrat menyebabkan tercetusnya letupan.
Laporan itu menganggarkan bahawa letupan menyebabkan kerugian mencecah 6.87 bilion yuan (RM4.35 bilion).
Difahamkan lagi, tindakan undang-undang bukan hanya dikenakan terhadap syarikat logistik berkenaan, malah para penyiasat turut meminta tindakan diambil ke atas pelbagai pihak yang didakwa terlibat dengan insiden tersebut.
Meskipun 49 individu telah ditahan berhubung insiden itu setakat ini, pihak penyiasat juga mengatakan akan mengarahkan penahanan terhadap 123 individu lagi selepas ini.