PERMATANG PAUH - Seorang lelaki maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pokok dan tiang lampu di Jalan Permatang Nibong, lewat petang kelmarin.
Menurut sumber, dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, mangsa, Tan Boon Hup, 51, dipercayai memandu kereta jenis Honda City dari arah Permatang Pauh menghala ke Penanti.
“Ketika kejadian, mangsa memandu seorang diri. Dia dikatakan gagal mengawal kereta yang dipandu lalu masuk ke laluan bertentangan.
“Akibatnya, kereta mangsa telah merempuh pokok dan tiang lampu di bahu jalan,” kata sumber berkenaan.
Mangsa dipercayai maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk dibedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.