Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa, Asok Narayanasamy, 31, dibelasah selepas dipercayai berselisih faham dengan seorang lelaki yang dikenalinya.
Ketua Polis Daerah Sentul, R. Munusamy berkata, pada mulanya mangsa dan lelaki itu bertumbuk di dalam pusat hiburan berkenaan tetapi pergaduhan mereka berjaya dileraikan oleh orang ramai.
Menurut beliau, lelaki itu yang masih tidak berpuas hati dengan mangsa menghubungi abangnya.
Ujarnya, abang lelaki terbabit yang tiba di pusat hiburan ber­ke­na­an tidak lama selepas itu me­mang­­gil mangsa keluar untuk me­nye­lesaikan perselisihan faham ter­sebut.
“Sebaik sahaja mangsa keluar dari pusat hiburan, dia tiba-tiba dipukul oleh seorang suspek yang datang menaiki kereta jenis Hyundai Sonata. Suspek turut meme­gang sebilah pisau.
“Suspek kemudian membawa lari mangsa ke satu tempat yang tidak diketahui sebelum menghantar mangsa ke sebuah restoran di Brickfields dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan muka, hidung, telinga dan kepala berdarah,” katanya di sini hari ini.
Munusamy memberitahu, mangsa dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.