Search This Blog

Tuesday, February 2, 2016

Lapan ditahan pecah kilang pasang bas

Kulim: Polis menahan lapan lelaki dalam serbuan berasingan di Ipoh, Perak dan Bukit Tengah di Pulau Pinang, Sabtu lalu, bagi membantu siasatan kes pecah masuk kilang pemasangan bas di Kawasan Perindustrian Kelang Lama di sini, yang mengakibatkan kerugian kira-kira RM3 juta.
Turut dirampas bersama lapan suspek berusia 36 hingga 51 tahun berkenaan ialah pelbagai barangan dipercayai dicuri dianggar bernilai RM300,000.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, kejadian dipercayai berlaku dari 19 hingga 26 Januari lalu sebelum disedari pemiliknya warga Australia yang membuat laporan polis pada Khamis lalu.
"Susulan laporan polis itu, sepasukan anggota polis berjaya menahan seorang lelaki di Ipoh dan soal siasat ke atasnya membawa kepada penahanan tujuh lelaki lain di sebuah lokasi di Bukit Tengah pada Sabtu lalu.
"Hasil tangkapan itu membawa kepada penemuan barangan yang dicuri, termasuk tujuh unit ‘kompresor’ yang semuanya bernilai lebih RM100,000, kabel tembaga, lori tiga tan, kereta Perodua Viva dan beberapa barangan lain," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Asisten Superintendan Amir Atong@Atu.
Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kebanyakan barangan yang dirampas dipercayai mahu dijual kepada pembeli tertentu.
Katanya, tiga daripada lapan lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2016 @ 6:05 PM


Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad (tiga dari kanan) menunjukkan antara barangan serta komponen yang di temui semula berikutan penahanan lapan lelaki kes pecah kilang pemasangan bas. - Foto AZAHAR HASHIM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111721#sthash.zTWNiEqr.dpuf

No comments:

Post a Comment