Search This Blog

Tuesday, February 2, 2016

Langsung khabar duka

Kota Bharu: “Kami terkejut selepas hampir setahun tidak mendengar khabar berita.
“Sabtu lalu, kami dimaklumkan dia sudah meninggalkan kami buat selama-lamanya,” kata Hasmah Mamat, 50, ibu kepada Nurul Izzati Che Mohamed, 24, yang maut selepas terkena renjatan elektrik di kedai telefon bimbitnya di Jalan Pantai Cahaya Bulan, di sini, Sabtu lalu.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi, mangsa maut di tempat kejadian akibat melecur di bahagian bawah pinggangnya selepas dipercayai terpijak kabel elektrik yang berada di bawah meja.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini, untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kedai Buloh, kelmarin.
Suami mangsa dikenali sebagai Iskandar berusia 20-an turut cedera ketika cuba menyelamatkan isterinya dan menerima rawatan di HRPZ II.
Difahamkan, ketika kejadian dua anak mangsa masing-masing berusia enam bulan dan dua tahun sedang tidur di dalam bilik tidur yang terletak di tingkat satu bangunan rumah kedai itu.
Hasmah berkata, dia hanya mengetahui kejadian yang menimpa anak kedua daripada lima beradik selepas dimaklumkan keluarga angkat menantunya.
Katanya, sebelum ini, dia jarang bertemu dengan mangsa kerana beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan selepas anaknya itu berkahwin.
“Sejak dia melahirkan anak kedua, kami tidak pernah bertemu kerana masalah yang tidak dapat dielakkan.
“Bagaimanapun Sabtu lalu, kami dimaklumkan dia sudah tiada sebelum saya dan suami bergegas ke Unit Forensik HRPZ II,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pulau Pisang, di sini, semalam.
Menurutnya, kini dua cucunya berada di bawah jagaannya sementara menantunya dirawat di hospital.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Baharom Abu ketika dihubungi mengesahkan laporan kejadian berkenaan.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:13 AM


HASMAH menunjukkan gambar arwah anaknya, Nurul Izzati yang maut akibat terkena renjatan elektrik.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111804#sthash.1iaLgka4.dpuf

No comments:

Post a Comment