ikan paus

BATU PAHAT – “Saya lihat paus berkenaan mengalirkan air mata, seolah-olah menangis dan mengerang kesakitan sebelum ia mati,” kata seorang nelayan yang menemui paus berkenaan, Mohd Johari Hamdan.
Mohd Johari, 32, berkata dia dan beberapa rakannya menemui paus itu ketika dalam perjalanan pulang dari menangkap ikan dan menuju ke Jeti Nelayan Sungai Sarang Buaya dekat sini, kira-kira jam 4 petang, kelmarin.
Katanya, pada mulanya dia terlihat benda yang agak besar terapung di permukaan muara Sungai Sarang Buaya, tetapi agak terkejut setelah melihat ia seekor paus yang terperangkap dalam lumpur.
“Sebaik mengetahui ia ikan paus dan masih hidup, saya dan rakan-rakan cuba menyelamatkannya dengan menariknya ke tengah laut menggunakan bot yang kami naiki tetapi usaha kami menemui jalan buntu.
“Setelah beberapa kali kami berusaha membantu paus terbabit gagal, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) untuk tujuan menyelamat,” katanya.
Kata Mohd Johari lagi, sebaik pasukan Maritim tiba sahaja di lokasi, paus berkenaan sudah tidak bernyawa dan lebih memilukan paus terbabit mengalirkan air matanya serta beberapa kali mengerang dengan kuat sebelum ia mati, kira-kira jam 6 petang.
Katanya, sepanjang lebih 15 tahun menjadi nelayan di kawasan berkenaan, inilah kejadian kali pertama ikan paus ditemui di kawasan terbabit, selain menyatakan beberapa hari sebelum kejadian, rezekinya menangkap ikan melimpah-ruah.
“Kejadian ikan paus datang ke sini adalah pertama kali...selain rezeki saya dan nelayan di kawasan ini di luar jangkaan, termasuklah pada Isnin saya berjaya menangkap ikan siakap seberat 10 kilogram, di mana biasanya ikan siakap hanya seberat dua hingga tiga kilogram sahaja seekor,” katanya.
Bangkai paus dibawa ke Jeti Pejabat Perikanan
Bangkai paus sepanjang 12 meter dengan berat 15,000 kilogram itu, kemudian dibawa ke Jeti Pejabat Perikanan Batu Pahat untuk proses selanjutnya, termasuklah bedah siasat.
Pengarah Perikanan Johor, Munir Mohd Nawi berkata, bangkai paus dari spesies sei atau nama saintifiknya Balaenoptera Borealis yang juga spesies paus ketiga terbesar itu, mula ditarik pada jam 12 tengah hari menggunakan bot nelayan Kelas A.
Katanya, dengan bantuan daripada Sukarelawan Perikanan (Super) yang terdiri daripada nelayan tempatan, paus berkenaan tiba di jeti pada jam 3 petang, dan kemudian diangkat dengan menggunakan kren.
Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa, Maritim Pangkalan Batu Pahat, Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata sepanjang perjalanan sejauh 15 batu nautika dari lokasi bangkai paus ditemui, pihaknya memantau pergerakan berkenaan.
“Pihak Maritim bersedia memberikan kerjasama dalam usaha membawa bangkai paus ini ke Jeti Pejabat Perikanan, selain turut melakukan pemantauan terutamanya soal keselamatan,” katanya.
Bunuh diri jika terasing dari kumpulan
Gangguan emosi dan masalah pada organ dalaman yang serius dikesan menjadi punca kematian ikan paus yang terdampar di muara Sungai Sarang Buaya, Semerah, petang kelmarin.
Dalam masa sama, ikan paus itu dikatakan mempunyai sifat pelik, iaitu akan ‘membunuh diri’ jika terpisah daripada kumpulannya.
Malah spesies paus itu disahkan Kesatuan Antarabangsa Pemuliharaan Alam (IUCN) sebagai spesies paus terancam.
Pegawai penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Terengganu, Mohd Tamimi Ali Ahmad berkata, paus itu awalnya dijumpai terdampar di perairan pantai di Pontian, Johor pada Isnin lalu.
Menurutnya, ketika itu siasatan mendapati terdapat masalah di bahagian organ dalaman dipercayai akibat termakan sisa makanan terbuang di laut.
“Namun ia kemudian berjaya diselamatkan nelayan serta agensi penyelamat lain dan pada awalnya kami sangka paus terbabit sudah selamat menuju ke laut dalam.
“Bagaimanapun ia  ditemui sekali lagi terdampar di muara Sungai Sarang Buaya, pada jam 4.30 petang kelmarin, sebelum disahkan mati pada jam 6 berikutnya.
“Ini bukan kali pertama kerana dalam tempoh 10 tahun pihak kami menerima empat kes kematian ikan paus terdampar termasuk di Pulau Carey, Selangor dan perairan di Pahang,” katanya.
Jelasnya, buat masa ini pihaknya akan menjalankan bedah siasat selama seminggu manakala tulang akan dipisahkan daripada badan ikan untuk diawet sebelum dibawa ke Galeri Perikanan di Rantau Abang, Dungun, Terengganu.
Seramai 40 orang terbabit dalam operasi menunda ikan paus berkenaan termasuk FRI Terengganu, FRI Gelang Patah, anggota Maritim dan Super
.