Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Wan Abdul Aziz Wan Hamzah menegaskan, kebanyakan kes berlaku di daerah Besut, bermotifkan dendam dan pertelagahan soal dadah.
Bercakap dalam sidang akhbar di sini hari ini, beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perlakuan itu dan akan tetap memastikan mereka yang terbabit tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan dan Operasi), Superintenden Chan Kuang Yu dan Pegawai Turus Bahagian Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat negeri, Asisten Superintenden (ASP) Mohamad Kamil Abdul Jalil.
Dalam masa sama, katanya, polis sedang memburu 14 lelaki kerana disyaki terbabit dalam beberapa kes menggunakan parang termasuk seorang suspek yang dikenali sebagai Hisham Tara yang menetak seorang anggota polis dalam kejadian di Besut tahun lalu.
Mereka terdiri daripada Mohd. Fazri Mat Hassan atau nama panggilan Jeri yang berasal dari Alor Serdang, Zainuri Mat Salleh (Kampung Gong Pasir), Wan Abdul Hisham Wan Abdullah atau Hisham Tara (Kampung Seberang Pintasan), Mohd. Amir Che Ya (Kampung Alor Teratai) dan Mohd. Sharol Fazry Mat Nawi (Kampung Darau).
Selain itu, suspek yang dicari ialah Mohd. Khairil Hazlinor Zainal Abidin (Kampung Alor Peroi), Madzlan Hasan (Kampung Tempanis), Shahrizal Erme Mustafa (Felda Selasih), Azmi Said (Kampung Pengkalan Nyireh), Mohd. Hariz Zaif Mohd. Zanua (Kampung Apal), Lizal Che Ismail (Kampung Gertak Seratus), Ismail Mustafa (Kampung Alor Teratai), Wan Muhammad Wan Deraman (Kampung Pondok Gaal,
Kelantan) dan Harmizi Othman atau Mizi kancil (Kampung Jerung, Marang).
“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya berasal dari Besut. Mereka disyaki terlibat dalam 14 kes jenayah kekerasan dan tetak dari tahun 2013 hingga 2016.
“Daripada jumlah itu, 13 kes berlaku di Besut manakala satu kes di Marang dan seramai 10 mangsa mengalami cedera parah akibat ditetak,” katanya.
Wan Abdul Aziz berkata, siasatan polis mendapati kesemua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah dan kes-kes berkenaan berlaku bermotifkan dendam selain berkaitan dadah.
“Kita ingin tegaskan di sini bahawa polis tidak akan bertolak ansur dengan mereka yang bertindak kejam terhadap mangsa seolah-olah negara kita sudah tidak ada undang-undang. Kita akan pastikan mereka ini akan ditangkap dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua individu terbabit supaya segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menelefon ASP Mohamad Kamil 019-5191964.