Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

Keluarga mangsa MH17 tulis surat kepada Putin


MOSCOW: Moscow menyerahkan data radar dan data lain mengenai nahas MH17 kepada Belanda tetapi semua itu diabaikan, kata pegawai penerbangan awam Russia sebagai maklum balas kepada surat daripada ahli keluarga mangsa warga Belanda kepada Presiden Vladimir Putin.
PRESIDEN Vladimir Putin. - Foto REUTERS
Timbalan Ketua Rosaviatsia, Oleg Storchevoy, agensi yang mewakili Russia dalam penyiasatan nahas pesawat Malaysia Airlines MH17, secara peribadi memberi penjelasan kepada waris mangsa menerusi surat yang panjang lebar.
"Saya ingin menekankan Russia amat komited untuk mencari punca sebenar nahas dan secara konsisten melaksanakan segala-galanya bagi mencari kebenaran, ketika siasatan teknikal dijalankan sehingga siasatan selesai," katanya.
Beliau berkata, waris mangsa mahukan jawapan siapa yang bertanggungjawab menembak pesawat itu dan tidak berpuas hati dengan usaha Belanda, yang disifatkan sebagai lambat.
"Berikutan itu, waris mangsa beralih kepada pemimpin pelbagai negara, termasuk Russia.
Mereka menghantar surat kepada Putin pada 22 Januari, meminta data awal dariapada radar dan satelit, yang mereka sifatkan sebagai amat penting.
"Kami tidak menetapkan sebarang syarat atau sekatan berkaitan penggunaan lanjut dan pendedahan data radar, rekod perbualan telefon dan data lain yang kami serahkan kepada Lembaga Keselamatan Belanda (DSB) seperti yang diminta," katanya.
Beliau menjelaskan, semua data itu masih disimpan oleh kerajaan Russia dan bersedia mengemukakannya kepada mana-mana pihak berkuasa berkaitan jika diperlukan.
Storchevoy berkata, walaupun pihak berkuasa Russia tidak terbabit dalam mengawal pesawat itu, mereka akan menjadi ahli de-facto siasatan berkenaan susulan maklumat unik yang diperoleh daripada radar di Rostov-on-Don, sebuah bandar di Russia tidak jauh dari sempadan Ukraine.
"Ingin saya tekankan bahawa Russia mendedahkan semua data satelit yang ada dengan segera selepas nahas," katanya.
Timbalan Ketua Rosaviatsia itu menjelaskan, data pada radar Russia adalah satu-satunya data yang diperoleh penyiasat Belanda, memandangkan stesen radar Ukraine (tanpa sebab yang jelas) tidak berfungsi pada 17 Julai.
Malah, pihak berkuasa Ukraine juga tidak mempunyai sebarang sistem sokongan untuk mengekalkan keselamatan penerbangan dalam zon ketenteraan.
Bagaimanapun, bukti itu nampaknya tidak dinyatakan dalam laporan akhir DSB pada Oktober lalu. - Agensi

No comments:

Post a Comment