NEW DELHI - INDIA. Kejadian seorang lelaki yang maut Sabtu lalu akibat ditimpa objek dari angkasa kini disiasat ahli saintis.
Jika objek tersebut terbukti sebuah meteorit, maka mangsa adalah manusia pertama menemui ajal akibat komet.
Menurut laporan CNN, objek tersebut terhempas berdekatan dengan sebuah sekolah kejuruteraan di Vellore dan meninggalkan kawah sedalam 2 kaki.
Akibat hempasan tersebut, Kamaraj, 40 yang bekerja sebagai pemandu bas di sekolah tersebut maut kerana berada berhampiran tempat kejadian.
Dua orang tukang kebun dan seorang pelajar juga cedera dan mendapat rawatan di hospital.
Ketua polis di Vellore, Senthil Kumari memberitahu kejadian tersebut juga menyebabkan tingkap beberapa buah bas pecah.
Senthil bagaimanapun tidak menolak andaian objek tersebut merupakan 'sampah' angkasa lepas yang ditinggalkan oleh roket-roket pelancaran satelit.
"Kami perlu menyiasat perkara ini dan menentukan objek tersebut adalah meteorit atau tidak," kata Senthil
.