Search This Blog

Tuesday, February 2, 2016

Kebas barang kilang RM3 juta

Kulim: Tindakan pantas seorang pekerja lelaki mencatatkan nombor pendaftaran sebuah lori membawa kepada penahanan lapan lelaki untuk siasatan kes pecah masuk sebuah kilang pemasangan bas mengakibatkan kerugian RM3 juta di Kawasan Perindustrian Kelang Lama, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, lapan lelaki berusia 36 hingga 51 tahun berkenaan ditahan dalam dua serbuan berasingan di Ipoh, Perak dan Bukit Tengah, Pulau Pinang berdasarkan nombor pendaftaran lori terbabit yang didakwa memunggah barang di kilang milik seorang warga Australia.
Turut dirampas dalam serbuan itu pelbagai barangan dipercayai dicuri bernilai RM300,000.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, kejadian berkenaan disedari pemilik kilang terbabit pada 26 Januari lalu selepas pengurus kilangnya memaklumkan kejadian pecah masuk itu menerusi aplikasi Whats-
App sebelum membuat laporan, dua hari kemudian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian berlaku antara 19 hingga 26 Januari lalu.
“Susulan laporan polis yang dibuat pemilik kilang itu, sepasukan anggota polis melakukan serbuan di Ipoh, Perak sebelum menahan seorang lelaki dan diikuti penahanan tujuh lelaki lain di sebuah lokasi di Bukit Tengah, Pulau Pinang.
“Hasil serbuan itu, pihak polis menemui semula barangan yang dicuri seperti tujuh unit kompresor bernilai RM15,000 setiap satu, wayar tembaga, sebuah lori tiga tan, sebuah kereta Perodua Viva dan beberapa barangan lain,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim, di sini, semalam.
Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Asisten Superintendan Amir Atong@Atu.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati kebanyakan barangan yang ditemui mahu dijual kepada pembeli tertentu.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati tiga daripada lapan lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan semua mereka kini ditahan reman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2016 @ 5:10 AM


Abdullah (tiga dari kanan) menunjukkan antara barangan serta komponen yang ditemui semula susulan penahanan lapan lelaki berkaitan kes pecah kilang ketika sidang media di IPD Kulim, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/111798#sthash.fPG2Rt1X.dpuf

No comments:

Post a Comment