Henry Edoos dimasukkan ke ambulans untuk dibawa ke Klinik Kesihatan Telupid selepas ditemukan di tangga Bank Simpanan Nasional (BSN) Beluran, Sabah, semalam.
Mangsa, Henry Edoos, 43, yang mengalami kecederaan parah di kepala dan bengkak di muka itu ditemukan orang awam yang lalu-lalang di kawasan bank berkenaan kira-kira pukul 6.30 pagi.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Sivanathan Velautham berkata, siasatan awal pihaknya mendapati mangsa dikatakan sedang melepak dan minum minuman keras di sebuah kedai berhampiran bank berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam tadi.
Menurutnya, mangsa kemudian meneruskan aktiviti melepak di kedai lain sebelum diserang individu tidak dikenali ketika perjalanan pulang ke rumah.
“Ketika perjalanan pulang ke rumahnya yang berada di tingkat atas bank berkenaan pada pukul 4 pagi, mangsa dipercayai dipukul individu tidak dikenali sebelum terbaring di tangga bank tersebut dengan berlumuran darah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.
Tambah Sivanathan, ketika ditemukan, mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri selain berlumuran darah di kepala serta bengkak di muka.
Ujarnya, orang ramai yang panik kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Pekan Telupid sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess Of Kent, Sandakan untuk rawatan lanjut dan dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital berkenaan.
Selain itu, kata beliau, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan pendarahan dalam otak akibat tengkorak retak dipukul dengan benda keras.
“Kita sedang menyiasat semua kemungkinan sama ada barang peribadi mangsa turut hilang atau dilarikan suspek.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.