Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

Geng samun bertopeng tumpas




RAHMAT (tengah) menunjukkan parang yang dirampas daripada kumpulan penjenayah pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi semalam.


KOTA TINGGI – Kegiatan jahat lima lelaki dan seorang wanita warga asing yang dipercayai aktif melakukan jenayah samun bertopeng akhirnya berkubur selepas mereka diberkas di sebuah rumah kongsi di kawasan kebun sayur-sayuran di Sungai Tiram dekat sini kelmarin.
Dalam serbuan pada pukul 8 pagi itu, kesemua mereka yang berusia 18 hingga 29 tahun merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, dengan tertangkapnya kumpulan itu, polis dapat menyelesaikan 11 kes samun didalangi suspek di daerah Kota Tinggi, Kluang, Johor Bahru Utara dan Tangkak.
“Dalam operasi itu, pihak kami merampas sebuah motosikal dan 54 jenis barangan curi termasuk gelang, jam tangan pelbagai jenama, telefon bimbit, komputer riba dan kamera digital.
“Selain itu, polis juga menemui parang, pemotong besi, pemutar skru dan topeng muka yang digunakan dalam kegiatan jahat mereka,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Menurut Rahmat, berdasarkan siasatan awal, modus operandi kumpulan terbabit dengan me­lakukan jenayah di antara pukul 3 pagi hingga 4 pagi ketika mangsa sedang tidur nyenyak.
“Suspek sering memakai topeng muka bagi mengelakkan wajah mereka dilihat selain menggunakan parang dan sabit untuk menakutkan mangsa.
“Mereka akan memasuki rumah melalui tingkap sebelum memecah pintu bilik menggunakan tong gas dan mengikat mangsa. Suspek akan melarikan diri selepas me­nemui barangan berharga,” ujarnya.
Kesemua suspek terlibat kini ditahan reman selama tujuh hari mulai semalam bagi membantu siasatan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0211&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3zoRfBz14 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment