Search This Blog

Tuesday, February 9, 2016

Gempa Taiwan: 120 masih terperangkap


08 Februari 2016 1:23 AM





TAIPEI 7 Feb. – Sebanyak 120 mangsa dilaporkan masih terperangkap di bawah runtuhan sebuah blok pangsapuri ekoran gempa bumi di selatan Taiwan awal pagi semalam, yang setakat ini telah mengorbankan 23 nyawa.
Dua orang mangsa berusia lingkungan 20 tahun, seorang dikenal pasti oleh media Taiwan sebagai Huang Kuang-wei ditemui selamat, manakala seorang lagi dikenali sebagai Kou berjaya berjalan keluar dari kawasan runtuhan dengan bantuan pasukan penyelamat.
Kedua-duanya kemudian dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, seorang wanita yang dikenali sebagai Chang, 42, bimbang anak perempuannya berusia 24 tahun masih belum menjawab panggilan telefonnya sehingga kini.
“Saya yakin mereka akan menjumpai anak saya dan saya telah bersedia untuk sebarang kemungkinan kerana sudah lebih 20 jam kejadian runtuhan itu berlaku,” katanya merujuk kepada anaknya yang tinggal di tingkat lima pangsapuri berkenaan.
Sehingga kini, sekurang-kurangnya 23 orang dilaporkan terkorban dalam bencana itu dan 16 mayattelah ditemukan di bawah runtuhan bangunan Wei-gan Golden Dragon itu ekoran gempa yang berlaku pada kira-kira pukul 4 pagi semalam (waktu tempatan).
Menurut media Taiwan, turut ditemukan ialah mayat dua beradik perempuan yang masing-masing berusia 18 dan 23 tahun.
Pasukan penyelamat dilaporkan berdepan kekangan masa untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap itu.
Datuk Bandar Tainan, William Lai berkata, mangsa yang terselamat serta ahli keluarga mereka mendakwa, wujud satu ‘pelanggaran etika’ tanpa memaklumkan lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Saya telah menghubungi unit kehakiman dan pihak pendakwaan untuk memulakan siasatan secara rasmi.
“Kami juga telah mengarahkan tiga badan bebas untuk menjaga bahan bukti semasa melakukan kerja-kerja menyelamat agar kami boleh membantu penduduk yang terjejas jika mereka mahu menfailkan tuntutan mahkamah suatu hari nanti.
“Pada masa yang sama, pihak kami juga akan menahan pemaju bangunan yang bertanggungjawab jika terbukti mereka melanggar undang-undang,” katanya. –REUTERS/AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/gempa-taiwan-120-masih-terperangkap-1.187941#sthash.Co18l2Bv.dpuf

No comments:

Post a Comment