Video rakaman amatur yang berdurasi 35 saat itu menunjukkan salah seorang daripada dua pelajar sekolah dipaksa menyalak seperti anjing dan menjilat jalan tar sebagai hukuman kerana mengambil gambar seorang pelajar wanita tanpa kebenaran di Taman SEA , Petaling Jaya, Selangor, pada penghujung bulan lalu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kesemua suspek ditahan di sekitar Petaling Jaya bermula pukul 3 petang semalam selepas kedua-dua mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis bersama pihak sekolah.
“Pihak polis sudah melihat vi­deo berkenaan tetapi tidak dapat pastikan kejadian tersebut, oleh itu siasatan dibuat selepas kedua-dua mangsa membuat laporan polis pada 31 Januari lalu.
“Kesemua suspek yang berusia antara 18 hingga 20 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zani, kes disiasat di bawah Seksyen 324 dan 385 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan serta melakukan pemerasan.
Video rakaman amatur yang berdurasi 35 saat itu menunjukkan mangsa dipaksa menyalak seperti anjing dan menjilat jalan tar sebagai hukuman.
Bagaimanapun, selepas mangsa melakukan perbuatan itu, dia dia­rahkan balik namun dihalang salah seorang suspek yang mengatakan kononnya tidak melihat mangsa melakukan arahan yang diberikan.
Difahamkan, kejadian itu berpun­ca selepas mangsa dipercayai me­ngambil gambar salah seorang pelajar perempuan tanpa kebenaran.