FENOMENA 
El-Nino sedang melanda seluruh dunia pada masa ini.
Ia akan menyebabkan cuaca di seluruh negara tidak akan menentu dan hal ini mencetuskan kebimbangan kepada para pengkaji cuaca.
Nama, El-Nino dipetik daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud kanak-kanak lelaki. Fenomena tersebut dipanggil El-Nino apabila seorang nelayan mendapati air laut di Laut Pasifik secara tiba-tiba panas sekitar 1600.
Fenomena ini berlaku apabila suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifik menjadi lebih panas daripada bahagian barat. Ia berikutan air sejuk daripada arus air ‘Humbolt’ masuk ke dalam Lautan Pasifik.
Air panas yang sepatutnya menuju ke arah barat daya sebaliknya kekal berada di lautan berkenaan akibat kurangnya angin timur dan menyebabkan suhu menjadi panas.
Kesemua proses ini berlaku dalam tempoh tujuh hingga sembilan tahun.
Kebiasaannya, El-Nino akan berlaku dalam tempoh dua hingga tujuh tahun.
Menurut kajian, fenomena El-Nino yang pertama berlaku pada 1525 apabila seorang penjajah, Francisco Pizarro berlabuh di kawasan utara Peru.
Ahli sejarah berpendapat, fenomena tersebut telah memudahkan Pizarro untuk menakluki Empayar Inca.
Pada1930, pengkaji cuaca, Gilbert Walker mengesan perubahan pada atmosfera dan Walker menggelarkan perubahan tersebut sebagai ‘Southern Oscillation’ (SO). El-Nino dan SO berlaku bersama-sama dan ia juga dikenali sebagai ENSO.
Ketika berlakunya El-Nino, beberapa kawasan di seluruh dunia berkemungkinan mengalami cuaca yang pelik.
Sesetengah kawasan mungkin mengalami cuaca panas yang melampau dan berpanjangan manakala ada kawasan pula akan mengalami kesejukan pada luar musim.
Kerugian teruk pada 1983
El-Nino pada penggal 1982-1983 berlaku pada pertengahan tahun 1982 sehinggalah pertengahan1983.
Pada ketika itu, suhu permukaan laut di bahagian timur Pasifik dan sebahagian besar zon Khatulistiwa naik sebanyak 5 hingga 10 darjah Celsius daripada suhu biasa.
Pada tempoh berkenaan, Australia dan Indonesia  mengalami musim kemarau yang sangat teruk berbanding biasa.
Negara Ecuador dan bahagian utara Peru pula mengalami hujan yang sangat lebat dalam tempoh enam bulan.
Beberapa kawasan yang pada asalnya padang pasir ditumbuhi rumput hijau.
Pada masa sama, kawasan California pula mengalami ribut salji yang sangat dahsyat.
Ribut salji ini menyebabkan bahagian selatan Amerika Syarikat (AS) banjir manakala ribut teruk melanda Hawaii dan Tahiti.
Industri perikanan di Ecuador dan Chile juga turut terjejas kerana kebanyakan ikan telah bermigrasi ke kawasan perairan selatan Chile. 
Secara keseluruhan, kerugian yang dialami oleh seluruh dunia akibat El-Nino dalam tempoh tersebut dianggarkan berjumlah AS$8 bilion (RM33 bilion).
El-Nino paling buruk dalam sejarah
Ahli pengkaji menganggap El-Nino yang berlaku pada 1997 hingga 1998 adalah yang terburuk dalam sejarah dunia.
Ini kerana, kebanyakan negara di seluruh negara mengalami gangguan cuaca yang agak teruk.
El-Nino pada penggal tersebut bermula pada Januari 1997 sehinggalah pada Mei 1998.
Pada dua bulan pertama 1998, julat suhu panas dan sejuk beberapa buah negara mencatatkan sejarah bagi negara masing-masing.
Sri Lanka dan selatan India mengalami musim kemarau yang menyebabkan berlakunya kekerapan kebakaran hutan manakala sebahagian kepulauan Caribbbean serta kawasan barat dan timur laut AS mengalami ribut petir yang teruk.
Semasa tempoh ini, Malaysia juga tidak terkecuali menerima impak daripada fenomena berkenaan.
Ini kerana, negara ini terletak di kawasan benua maritim di tengah, antara dua lautan besar iaitu Lautan Hindi dan Lautan Pasifik.
Dalam keadaan normal, kawasan ini mempunyai tekanan udara rendah berbanding di bahagian timur dan tengah Lautan Pasifik.
Dalam tempoh berkenaan, negara mengalami musim kemarau yang berpanjangan yang menyebabkan suhu meningkat dengan mendadak.
Ketika itu, daerah Chuping, Perlis mencatatkan suhu yang paling panas dalam sejarah iaitu 41.1 darjah Celsius.
Suhu panas ini telah mengakibatkan kebakaran hutan berlaku secara berleluasa dan mengakibatkan keadaan jerebu di seluruh dunia.
Kejadian El-Nino pada 1998 menyebabkan kerugian melebihi RM15 bilion di seluruh dunia dengan Malaysia sahaja mencatat kerugian hampir RM1 bilion.
2015 tahun terpanas sejak 1880
Laporan Pentadbiran Atmosfera dan Lautan Kebangsaan (NOAA) menunjukkan 2015 adalah tahun terpanas dalam era moden, sekali gus meningkatkan kebimbangan baharu terhadap perubahan iklim yang drastik.
Ia bukan sahaja mencatatkan rekod tahun terpanas sejak 1880 malah turut memecahkan rekod pada 2014 dengan margin paling besar.
"Sepanjang tahun lalu, purata suhu di darat dan permukaan laut global adalah 0.90 darjah Celsius di atas purata abad ke-20.
"Ia adalah suhu paling tinggi pernah direkodkan sejak lebih seabad lalu. Berbanding dengan 2014, tahun lalu adalah 0.13 darjah Clesius lebih panas," jelas laporan itu.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (Nasa) yang memantau iklim global mengesahkan tahun lalu memecahkan rekod tahun terpanas pada era ini.
Menurut Nasa, sebahagian besar perubahan suhu tersebut disebabkan oleh kadar pelepasan karbon dioksida yang tinggi ke atmosfera
.