Search This Blog

Wednesday, February 10, 2016

Cermin tiga kereta jiran pecah

Kuala Lumpur: Tragedi anak tikam ibu di Taman Setapak Jaya, di sini, malam semalam turut menyaksikan tiga kereta jiran mangsa pecah pada bahagian cermin berikutan tindakan abang suspek yang berusia 23 tahun membaling batu ke arah kereta berkenaan.
Ini kerana, abang suspek mendakwa adiknya yang berusia 22 tahun berada di dalam salah sebuah kereta itu untuk bersembunyi selepas menikam ibunya.
Jiran suspek yang mahu dikenali sebagai Aina berkata, dia terdengar jeritan di luar rumah jirannya kira-kira 9 malam.
"Saya terdengar ada orang menjerit di luar rumah dan ternampak jiran saya membaling sesuatu. Apabila saya keluar, saya mendapati cermin kereta Perodua Myvi saya dan adik pecah kerana dibaling batu.
“Pagi tadi apabila saya memeriksa kereta Hyundai Matrix ibu, ia turut pecah di bahagian cermin dibaling batu oleh abang suspek. Saya sudah membuat laporan polis di balai berdekatan dan keseluruhannya kami kerugian kira-kira RM6,000," katanya ketika dihubungi Harian Metro, petang tadi.
Dalam kejadian 8.45 malam itu, guru Sekolah Rendah al-Amin berusia 49 tahun parah di perut, dahi dan kedua-dua tangan selepas anak lelakinya yang dipercayai mengalami masalah mental menyerang dan menikam perutnya ketika dia solat Isyak.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Ahmad yang mengesahkan kejadian berkata, suspek kini diburu polis dan sebilah pisau berukuran 45 sentimeter yang digunakan untuk menikam suspek ditemui di lokasi kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dengan sengaja.
Difahamkan, mangsa yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur masih kritikal.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Februari 2016 @ 9:53 PM


Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) turut menjalankan siasatan di tempat kejadian.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113655#sthash.1LApB66n.dpuf

No comments:

Post a Comment