JOHOR BAHRU - Ibu 13 anak yang baru memeluk Islam dari Masai, dekat sini, hidup dalam ketakutan selepas sering menerima ugutan bunuh daripada bekas suaminya, yang didakwa bersikap panas baran dan selalu mabuk.
Salmah Abdullah, 39 berkata, dia terpaksa berpindah dari rumahnya dan berlindung di sekitar kawasan perumahan di daerah ini demi keselamatannya dan anak, supaya tidak terus diganggu oleh bekas suami.
Katanya, lebih membimbangkan apabila bekas suaminya sering berkelakuan pelik dan pernah membuat isyarat lucah kepada anak perempuan mereka, menyebabkan dia nekad menyembunyikan diri bersama anak-anak.
“Saya nekad pindah dan telah buat laporan polis kerana bimbang keselamatan anak-anak. Status perkahwinan kami juga diputuskan tidak sah pada akhir tahun lalu kerana masalah agama.
“Sejak berpindah keluar, bekas suami sering ugut nak sembelih leher saya dan anak. Sebelum ini dia juga sering mengamuk dan bertindak ganas kerana mabuk dan ambil  dadah, selain gagal menyara kami dengan baik,” katanya.
Salmah berkata, dia kini perlu menyara sembilan anaknya berusia 16 hingga 3 tahun, manakala empat lagi anaknya berusia 20, 18 dan 16 tahun berada dalam jagaan keluarga terdekat dan seorang lagi berusia 18 tahun berada di bawah perlindungan pihak berwajib.
Menurutnya, dia telah memohon bantuan rumah sewa Projek Perumahan Rakyat di Taman Cendana akhir tahun lalu dan berharap ia diluluskan agar dia dapat segera berpindah, sekali gus dapat menguruskan persekolahan anaknya.
“Anak-anak masih belum memulakan sesi persekolahan sejak kami bersembunyi di sini akhir tahun lalu. Saya bimbang pelajaran mereka terganggu. Salah seorang anak akan menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga tahun ini.
“Saya berharap dapat segera berpindah dan mulakan hidup baharu. Saya juga boleh bekerja semula bagi menampung keperluan keluarga,” katanya yang turut berdepan masalah kesihatan.
Sementara itu, sukarelawan, Qurratu’ Aini Nadzri berkata, dia membantu menempatkan keluarga terbabit di rumah kosong milik kenalannya, selain turut mendapatkan bantuan kewangan sebagai sokongan untuk mereka meneruskan rutin harian.
“Ada pihak sudi membantu menampung kos sewa rumah keluarga terbabit tetapi kami berdepan masalah tiada penempatan sesuai untuk mereka.
“Sekiranya ada pihak sudi hulurkan bantuan kepada keluarga ini boleh hubungi Salmah menerusi talian 011-33277213 atau saya sendiri di talian 019-6578953,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abd Latif Bandi berkata, pihaknya akan menyiasat serta meneliti masalah keluarga terbabit bagi tujuan  pemberian bantuan yang  bersesuaian
.