Search This Blog

Monday, February 8, 2016

Baru menyamun, kena tangkap

Shah Alam: Dua lelaki yang baru menyamun pasar raya tidak sempat menikmati hasil samun itu selepas ditahan polis di Kampung Baru Hicom, di sini, pagi tadi.
Suspek dipercayai menyamun premis yang terletak di Taman Berkeley, Klang, 20 minit sebelum mereka dikesan pada 9.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, polis menerima maklumat mengenai sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.
Katanya, suspek masing-masing berusia 45 tahun itu cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran polis yang mahu menahan mereka.
Menurutnya, suspek yang memandu dalam keadaan berbahaya terdesak dan sanggup membuang wang tunai dan pelbagai resit hasil samun untuk menghapuskan bukti.
"Ketika polis memintas kereta yang dinaiki suspek, mereka cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan.
"Namun, kecekapan anggota kereta peronda polis berjaya menahan suspek tidak jauh dari lokasi berkenaan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Shafien berkata, pemeriksaan lanjut menemui wang tunai, resit dan kayu hoki dan pengunci stering berbentuk kayu besbol yang digunakan untuk menyamun.
Menurutnya, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pasar raya berkenaan mengesahkan suspek adalah individu yang menyamun premis berkenaan pagi tadi.
"Polis sudah menerima laporan daripada pekerja pasar raya itu yang dibuat di Balai Polis Bandar Baru Klang bagi mengetahui jumlah kerugian.
"Hasil semakan mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan samun berkawan menggunakan senjata," katanya.
Tambahnya, kedua-dua suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut yang dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkawan menggunakan senjata.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2016 @ 3:30 PM


Wang tunai yang dirampas daripada suspek. FOTO Ihsan PDRM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/113476#sthash.88k8ccfc.dpuf

No comments:

Post a Comment