Pakar kesihatan dunia memberi amaran terhadap risiko tersebut di benua Asia selepas Thailand dan Indonesia mengesahkan kes jangkitan virus Zika di negara masing-masing ketika benua Amerika Latin terus bergelut untuk menangani ancaman wabak berbahaya itu.
Dua kes berkenaan dilaporkan ketika Amerika Syarikat (AS) mengesahkan seorang pesakit dijangkiti virus Zika menerusi hubungan seksual, sekali gus meningkatkan kebimbangan tentang penyebaran wabak itu dengan lebih pantas.
Kebimbangan turut disuarakan oleh kerajaan India yang mungkin menjadi sasaran seterusnya disebabkan faktor kepadatan penduduk tinggi dan dibelenggu krisis sanitasi teruk yang telah mengundang masalah kesihatan termasuk penyebaran wabak denggi.
Pakar wabak berjangkit dari Mumbai, Om Shrivastav berkata, India berisiko tinggi untuk menjadi lokasi penyebaran virus Zika dengan pantas disebabkan kehadiran nyamuk aedes dan keadaan persekitaran yang sesuai sebagai habitat serangga berkenaan.
“Situasi itu memberi cabaran besar kepada negara Asia untuk mengekang penyebaran virus Zika, lebih-lebih lagi dengan kadar kepadatan penduduk yang tinggi,” katanya.
Lebih 20 juta penduduk tinggal di kawasan sesak yang tidak mempunyai sistem pengaliran udara yang baik dan kekurangan tandas, sekali gus menjadi lokasi sesuai pembiakan nyamuk aedes terutamanya pada musim hujan.
Pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Anthony Costello memberi amaran bahawa krisis global itu tidak terhad di benua Amerika Latin sahaja, di mana 25 negara melaporkan tentang kes Zika.
“Kami sedar tentang kewujudan nyamuk yang membawa virus Zika di benua Afrika, beberapa bahagian di Eropah dan kebanyakan negara di Asia terutamanya di selatan Asia,” katanya.
Bagaimanapun, jurucakap WHO di Manila, Eloi Yao berkata, terdapat kemungkinan virus Zika boleh merebak ke Asia, tetapi risiko tersebut dikategorikan sebagai rendah.
“Buat masa ini, kami tidak mahu meningkatkan tahap kebimbangan kerana wabak Zika pernah ditemukan di beberapa negara Asia.
“Namun, WHO akan bekerjasama dengan beberapa negara yang berisiko tinggi diserang virus itu dengan memastikan tahap persekitaran sentiasa bersih dan bebas nyamuk,” katanya. – AFP