KLANG - “Saya reda kehilangannya,” demikian luah Hasniza Ahmad, 48, ibu kepada pemuda yang maut dipercayai dibelasah dalam kejadian di tepi jalan Kampung Sungai Udang di sini, hanya kerana terlupa mengambil seorang kanak-kanak pulang dari sekolah agama.
Menurutnya, dia sekeluarga tabah dengan dugaan tersebut apatah lagi anaknya itu bakal melangsungkan perkahwinan pada penghujung Februari ini.
Menceritakan tentang perkahwinan anak itu, Hasniza berkata, semua kelengkapan termasuk pakaian dan barang hantaran telah lengkap.
“Anak saya (mangsa) kelihatan teruja menjelang perkahwinan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Izhharuddin Nordin, 23, dikatakan terlupa untuk mengambil anak saudara suspek terbabit pulang dari sekolah agama.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tumbuk pemandu van sekolah: Pengganggur direman]
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Azman Abdul Razak memberitahu, dalam kejadian kelmarin itu, suspek berusia 29 tahun mengarahkan mangsa memberhentikan van tersebut di tepi jalan selepas bertindak mengekorinya.
“Suspek telah bertengkar dengan mangsa sebelum suspek yang berang dan dikatakan telah menumbuk mangsa hingga tidak sedarkan diri.
“Insiden tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.
Beliau berkata, mangsa dipercayai meninggal dunia di dalam van berkenaan sebelum dikejarkan ke HTAR.
Azman memaklumkan, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis berjaya menahan suspek di rumahnya kira-kira sejam selepas kejadian.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Mohd Izhharuddin dilaporkan akan melangsungkan perkahwinan serentak dengan abang sulungnya, Muhammad Izudin Nordin, 24, pada 28 Februari.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada lapan beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, Kampung Sungai Sireh, Klang, selepas Asar semalam
.