JOHOR BAHRU –  Penduduk di Pontian dan Batu Pahat di sini, gempar dengan penemuan ikan paus sejak dua hari lalu yang disifatkan luar biasa.
Insiden tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat bagaimana mamalia yang hidup di kawasan beriklim sejuk terdampar di perairan di negeri ini.
Sinar Harian mendapatkan pandangan Pakar Ukur Hidrografi dan Pemetaan Dasar Laut, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Mohd Razali Mahmud mengulas berkemungkinan ia disumbangkan oleh penggunaan gelombang sonar.
Menurutnya, penggunaan sonar iaitu gelombang suara berfrekuensi tinggi yang dipancarkan di dalam laut untuk mencari kapal selam atau benda-benda lain yang tidak kelihatan.
“Penggunaan sonar ini adalah biasa bagi semua kapal-kapal malah alatan ini juga digunakan nelayan yang dipanggil fish finder (pengesan kumpulan ikan).
“Malah penggunaan sonar ini mampu mengesan kehadiran paus iaitu pada ukuran 160-190 decibel (dB),” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Jelasnya, kemungkinan mamalia ini keliru dengan bunyi yang didengar menyebabkan ia tersesat sehingga terdampar di pantai negeri ini.
“Mungkin berlaku gangguan, menyebabkan ikan paus ini terkeliru dengan denyut sonar, kerana haiwan ini bergerak secara berkumpulan dan bunyi sonar dari kapal-kapal, mencetuskan perhatian sekali gus menarik ia ke arah lain.
“Apabila ia tersesat dan tidak lagi berada di laut dalam, ia tidak dapat bertahan dan hilang arah tujuan menyebabkan ia terkeliru dan gagal mencari jalan keluar yang bukan kawasan hidupannya, namun mungkin ada faktor lain yang juga penyumbang kepada insiden ini,” katanya.
Dalam kajian Senior Konsultan, Natural Resources Defense Council, Michael Jasny dipetik melaporkan, gelombang sonar boleh mengakibatkan kerosakan pada otak dan sistem pendengaran ikan paus dan ikan lumba-lumba sehingga memaksa mamalia ini keluar dari dalam air.
Malah kesan itu juga boleh mengakibatkan kerosakan pada alat pendengaran dan otak ikan paus spesies tertentu, penyebab ia terdampar di pantai-pantai
.