Search This Blog

Tuesday, February 9, 2016

30 paus sperma mati di pantai Laut Utara


SEORANG lelaki memeriksa bangkai seekor paus sperma yang mati terdampar di pantai Hunstanton, Britain kelmarin. - REUTERS


LONDON – Seekor lagi paus jenis sperma ditemui mati di pantai Britain iaitu yang keenam seumpamanya daripada hampir 30 paus spesies sama yang terdampar di perairan cetek di pesisiran Laut Utara di benua Eropah sejak sebulan lalu.
Pakar kaji penyakit marin sedang mengambil sampel daripada bangkai haiwan tersebut ketika air surut tetapi beberapa saintis menyatakan masih terlalu awal untuk menge­tahui punca sebenar begitu banyak paus ‘tersalah arah’ ke Laut Utara.
Sejak pertengahan Ja­nuari lalu, 29 paus sperma mati di beberapa pantai di Belanda, Perancis, Jerman dan Britain.
Kumpulan pakar mengesyaki kesemua haiwan yang terbunuh itu datang daripada keluarga yang sama, sekumpulan paus jantan muda dalam perjalanan berhijrah ke air separa sejuk sebelah selatan.
“Apa yang kita temui ini ialah sekumpulan paus ‘remaja’ yang keluar berseronok tetapi tersilap belok ke Laut Utara. Paus-paus ini sepatutnya pergi ke barat untuk ke lautan luas di Laut Atlantik,” kata Pengurus Operasi Penyelam Penyelamat Hidupan Marin British, Stephen March kepada agensi berita Reuters.
Kejadian sebilangan besar paus sperma terdampar bukannya sesuatu yang baharu di benua itu dengan penemuan kejadian serupa seawal abad ke-16. Sekitar tahun 1760, enam ekor paus sepanjang 15 meter setiap seekor berenang di sungai Thames di London tetapi akhirnya kesemuanya mati.
Kejadian paus terdampar semakin berkurangan pada abad ke-19 disebabkan pemburuan paus besar-besaran.
Beberapa pakar berpendapat kejadian terbaharu paus terdampar itu me­nunjukkan bilangan paus sperma semakin pulih susulan usaha perlindungan sejak 1980-an.
“Kita mungkin akan melihat lebih banyak paus sperma terdampar di Laut Utara kelak dan kita pasti akan menemui lebih banyak kejadian sekumpulan besar paus terdampar jika populasi haiwan itu semakin pulih,” kata ahli Institut Zoologi di London, Paul Jepson. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0207&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3zcqIOWnD 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment