Presiden Juan Manuel Santos, bagaimanapun berkata, sehingga kini tiada kes dicatatkan di negara ini berkaitan penyakit microcephaly yang dikaitkan dengan virus Zika.
“Kami menjangkakan kes itu akan meningkat kepada 600,000 kes selain jangkaan kira-kira 1,000 kes sindrom Gullain-Barre,” katanya menerusi siaran televisyen, hari ini.
Virus Zika yang masih belum ditemui vaksin dan penawarnya, dikaitkan dengan penyakit microcephaly yang menghalang perkembangan otak janin, sekali gus menyebabkan kecacatan kepada bayi baru lahir.
Sindrom tersebut boleh menyebabkan seseorang mengalami lumpuh dan turut dikaitkan oleh beberapa negara dengan jangkitan virus Zika.
Menurut Santos, pemimpin masyarakat dan pihak berkuasa akan bekerjasama dalam usaha menghapuskan nyamuk termasuk menyembur asap dan membuang air bertakung.
Menteri Kesihatan Colombia, Alejandro Gaviria berkata, beliau percaya terdapat tiga kematian yang dikaitkan dengan Zika.
Menurut buletin epidemiologi institut kesihatan kebangsaan, daerah Norte de Santander mencatatkan hampir 5,000 kes virus berkenaan.
Gaviria berkata, dengan mengambil kira kes yang tidak dilaporkan dan pesakit yang tidak menunjukkan tanda-tanda jangkitan, dipercayai 80,000 sehingga 100,000 jangkitan Zika di negara ini.
Kira-kira 80 peratus pesakit yang dijangkiti virus itu tidak menunjukkan tanda-tanda diserang penyakit tersebut dan mereka yang dijangkiti pula mengalami demam, ruam dan mata merah. – Reuters