JOGJAKARTA - INDONESIA. Sekurang-kurangnya 24 orang disahkan meninggal dunia selepas meminum minuman keras buatan sendiri sejak beberapa hari lalu, lapor Reuters.
Manakala 20 lagi mangsa sedang dirawat di hospital.
Keadaan mangsa yang masih kritikal menyebabkan pihak berkuasa masih belum mendapat maklumat penuh untuk menjejaki keseluruhan insiden tersebut.
Dilaporkan, antara yang terkorban termasuk golongan mahasiswa.
Ekoran daripada kejadian terbabit, sepasang suami isteri yang merupakan pengusaha warung di sebuah kampung dalam wilayah Sayegan, Sleman dilaporkan ditahan pihak berkuasa.
Difahamkan, pasangan tersebut menjual arak buatan sendiri yang dipercayai mengandungi campuran etanol pada kadar 96 peratus.
Ketua Polis Sleman, Yulianto, seperti yang dilapor MetroTV. pihak polis mengesyaki ada kaitan antara semua mangsa walaupun mereka yang sakit dan maut didapati memperoleh minuman di tempat dan waktu yang berbeza.
“Polis telah menghantar sampel minuman keras yang dicampur bahan berbahaya itu ke makmal di Semarang untuk diuji,” katanya.
Kematian akibat mencuba minuman keras buatan sendiri bukan suatu yang asing di Indonesia, khususnya di kawasan luar bandar kerana orang kampung tidak mampu membeli arak berlesen.