Search This Blog

Thursday, February 11, 2016

11 kes selesai, polis tumpaskan penjenayah Indonesia


11 Februari 2016 1:21 AM


KOTA TINGGI 10 Feb. – Polis percaya telah menyelesaikan 11 kes samun di negeri ini dengan tertangkapnya lima lelaki dan seorang wanita Indonesia dalam serbuan di Sungai Tiram, Johor Bahru, semalam.
Serbuan pukul 8 pagi di rumah kongsi yang terletak di kebun sayur milik penduduk tempatan dilakukan tanpa disedari oleh suspek yang merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Ketua Polis daerah, Superintenden Rahmat Othman berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 29 tahun yang berasal dari Lombok dan Nusa Tenggara Timur Kupang, Indonesia ditahan dengan bantuan orang awam.
“Polis merampas sebuah motosikal bersama 54 jenis barangan termasuk seutas gelang emas, lapan unit jam tangan pelbagai jenama, 17 telefon bimbit pelbagai jenama, dua unit komputer riba, empat unit tablet dan dua unit kamera digital.
“Turut ditemukan geran tanah, lapan jenis beg termasuk beg duit dan beg galas selain parang, pemotong besi, pemutar skru dan topeng muka,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, di sini hari ini.
Rahmat memberitahu, siasatan lanjut mendapati mereka terlibat dalam 11 kes samun bersenjata iaitu tiga kes di Kota Tinggi, empat kes di Kluang, dua kes di Johor Bahru Utara, satu kes di Kulai dan satu kes lagi di Tangkak.
Ujarnya, semua suspek direman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Tambahnya, kes yang dilakukan kumpulan penjenayah dari negara terbabit bukan perkara baharu kerana dari bulan lalu hingga kini, tiga kejadian samun melibatkan warga Indonesia dilaporkan berlaku di daerah ini.
“Satu kes di Kampung Seri Jaya, Jalan Kota Tinggi-Kulai pada 4 Februari lalu dan dua kes di Kampung Sungai Telor (23 Januari dan 9 Februari). Mereka melakukan jenayah antara pukul 3 hingga 4 pagi.
“Suspek menggunakan kain dan topeng muka, bersenjatakan parang, sabit dan pemotong besi. Suspek memasuki rumah melalui tingkap, memecah pintu bilik menggunakan tong gas dan mengikat mangsa sebelum menggeledah rumah,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/11-kes-selesai-polis-tumpaskan-penjenayah-indonesia-1.188973#sthash.HbwpQHJ6.dpuf

No comments:

Post a Comment