Search This Blog

Wednesday, February 10, 2016

100 lagi di bawah runtuhan


PASUKAN menyelamat mula menggunakan jentera berat untuk mengalihkan lapisan konkrit besar pangsapuri Wei-Kuan di bandar Tainan, Taiwan semalam.- AFP


TAINAN – Pasukan penyelamat mula menggunakan jentera berat bagi mengesan lebih 100 mangsa yang terperangkap dalam runtuhan sebuah pangsapuri di Taiwan semalam selepas tempoh getir 72 jam untuk menemui mangsa yang masih hidup sudah berlalu.
Lebih 210 orang telah dikeluarkan dari pangsapuri Wei-Kuan 17 tingkat itu yang tumbang susulan gempa bumi dengan magnitud 6.4 melanda Taiwan awal pagi Sabtu lalu, menyebabkan lebih 40 orang terbunuh setakat ini.
Pentadbiran bandar itu dan pasukan penyelamat menganggarkan lebih 100 orang masih terperangkap dalam runtuhan tersebut.
Datuk Bandar Tainan, William Lai telah mengarahkan anggota penyelamat mula menggunakan jentera berat untuk mengalihkan bongkah konkrit besar bagi memudahkan usaha mencari mereka yang masih hidup.
“Sekarang sudah hampir 73 jam dan waris mangsa mula gelisah dengan setiap minit berlalu, mereka berharap pasukan penyelamat dapat bergerak lebih jauh,” katanya pagi semalam.
Penggunaan jentera berat ditangguhkan beberapa kali sebelum ini selepas pasukan penyelamat menemui tanda-tanda mangsa masih hidup di bahagian atas runtuhan bangunan tersebut.
Sementara itu, pendakwa raya di Tainan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap pemaju pangsapuri tersebut berikutan timbulnya persoalan mengenai kualiti binaan khususnya bahan yang digunakan.
Beberapa orang saksi di tempat kejadian memaklumkan tin-tin besar minyak masak komersial yang digunakan dalam dinding bangunan tersebut terdedah selepas bangunan itu tumbang. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0210&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3zihCAkCK 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment