Akibatnya, mangsa yang berusia 70 tahun itu kerugian RM100,000 selepas tertarik dengan hadiah yang bakal dimenanginya apabila menyertai peraduan sindiket tersebut, semalam.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, bertindak atas maklumat, pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping telah membuat serbuan pada hari yang sama.
“Satu serbuan telah dibuat di sebuah kedai menjual perkakasan elektrik kira-kira pukul 2.05 petang di sebuah premis di Taman Medan Saujana, Kamunting, di sini.
“Polis berjaya menahan dua lelaki berusia 20 dan 23 tahun selain turut merampas beberapa barangan yang digunakan oleh suspek. Kedua-duanya kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah beliau, antara barangan yang dirampas ialah lima keping borang surat pengesahan menang hadiah, 26 keping borang senarai hadiah, lima keping borang kelayakan serta lapan keping kad gores dan menang.
Selain itu, turut dirampas, satu unit tilam jenama Jade Mastters, tiga keping kertas gambar kereta Toyota dan tiga keping kertas gambar pelanggan yang berjaya memenangi hadiah.
Katanya, sindiket berkenaan telah mula beroperasi kira-kira enam bulan lalu dan polis juga sebelum ini turut membuat beberapa tangkapan.
“Pihak polis memohon supaya mangsa-mangsa terlibat tidak bertindak menarik semula laporan mereka sebaik perkara tersebut dilaporkan.
“Tindakan itu tidak bertanggungjawab dan menggagalkan usaha polis untuk menangani jenayah selain memberi keyakinan kepada sindiket untuk terus mencari mangsa-mangsa lain,” katanya.