Wan Sepiah Wan Sulaiman lebam di kedua-dua belah matanya dipercayai ditumbuk penjenayah dalam kejadian samun di kediamannya di Taman Buaya, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin.
Kejadian kira-kira pukul 11.30 malam itu menyebabkan mang­sa, Wan Sepiah Wan Sulaiman, 63, meng­alami kerugian lebih RM30,000 selepas penjenayah tersebut melarikan wang tunai, pelbagai jenis barang kemas dan peralatan elektrik.
Menurut Wan Se­piah, dia hanya menyedari kejadian tersebut kira-kira pukul 5 pagi selepas kesan ubat pelali itu habis.
“Saya hanya ingat saya masuk tidur, kira-kira enam jam kemudian saya terjaga tetapi saya tidak larat untuk bangun, ketika itu saya nampak bilik bersepah seperti digeledah.
“Saya gagahkan diri untuk bangun tetapi gagal, saya tertidur sehingga terjaga semula kira-kira pukul 11 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini semalam.
Wan Sepiah berkata, selepas terjaga, dia terpaksa menggagahkan diri untuk bangun dari katil sebelum merangkak membuka pintu walaupun masih longlai.
“Saya kuatkan hati dan terus merangkak sehingga sampai ke rumah jiran yang dikenali sebagai Salleh. Saya meminta dia memaklumkan kepada adik saya Rahim yang tinggal di kampung berhampiran.
“Kira-kira pukul 12 tengah hari adik sampai dan jiran menghubungi ambulans sebelum saya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Katanya, antara barang yang hilang ialah barang kemas iaitu empat utas gelang tangan, cincin, rantai, subang, wang tunai RM4,000 serta peralatan elektrik seperti kipas dan televisyen di samping dokumen penting.
“Saya syak penjenayah itu ma­suk melalui siling luar rumah yang rosak sejak tiga tahun lalu dan masih belum dibaiki.
“Mereka kemudian menyembur ubat pelali sebelum menumbuk kedua-dua mata saya berdasarkan kesan lebam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Baharom Abu mengesahkan kejadian tersebut dan siasatan masih dijalankan bagi mengesan suspek.