Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, ‘wanita’ berkenaan dikatakan membuat persembahan dengan hanya memakai pakai­an belahan di bahagian dada dan seakan-akan rancak apabila ‘payu daranya' terkeluar dari baju yang dipakai.
Menyedari keadaan itu, dia yang tidak memakai pakaian dalam itu bertindak menarik pakaiannya untuk menutup tetapi tidak berjaya.
Difahamkan, individu terbabit datang ke pusat beli-belah berkenaan bersama dua lagi rakannya sebelum meminta kebenaran sebuah kumpulan busker untuk mendendangkan lagu.
Malah, persembahan kumpulan busker bersama wanita itu turut dirakam kira-kira satu hingga empat minit oleh pengunjung hingga menjadi viral di laman sosial WhatsApp.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner M. Chandra dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya menerima laporan polis berhubung tindakan ‘wanita' terbabit.
Menurutnya, persembahan busker berkenaan mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan pusat beli-belah itu pada setiap hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad bermula dari pukul 3 petang hingga 8 malam.
“Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, ketika persembahan berlangsung, terdapat tiga ‘wanita’ terma­suk salah seorang daripada mereka memakai pakaian mencolok mata secara tiba-tiba mengambil mikrofon daripada kumpulan busker terbabit dan meminta kebenaran untuk menyanyi.
“Ketika mendendangkan lagu, menurut saksi, payu dara ‘wanita’ ini telah terkeluar dari pakaiannya sebelum bertindak memasukkan semula,” katanya di sini hari ini.
Ditanya jantina sebenar individu itu, Chandra berkata, setakat ini berdasarkan video dan gambar yang diberikan kepada pihaknya, individu terbabit merupakan seorang wanita.
Tambah beliau, polis telah mengambil keterangan pihak pengurusan pusat beli-belah terbabit dan kini sedang mengesan individu itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 294 Kanun Ke­seksaan atas kesalahan mengadakan persembahan nyanyian lucah atau melakukan perbuatan lucah.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang suspek diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.