Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Noorzainy Mohd. Noor berkata, pada malam kejadian, pasangan itu dipercayai mela­kukan hubungan kelamin secara agresif sehingga wanita itu lebam dan mengalami kesakitan.
Katanya, hasil soal siasat mendapati suspek berusia 51 tahun itu hilang sabar kerana sering dipaksa melakukan seks ganas oleh suaminya yang berumur 44 tahun itu.
“Selepas mangsa tidur suspek yang berada dalam keadaan tertekan telah memotong kemaluan suaminya,” katanya ketika dihu­bungi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.55 pagi semalam, wanita tempatan itu memotong kemaluan suaminya sehingga putus menggunakan mata pisau cukur dalam kejadian di rumah mereka di Batu Kikir di sini.
Lelaki warga Pakistan itu yang cedera kemudian pergi ke ba­lai polis sebelum dihantar ke Hospital Jempol di sini bagi mendapatkan rawatan.
Mangsa telah dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur bagi me­nyam­bung semula kemaluannya dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sementara itu, sumber memberitahu, wanita terbabit pernah membuat aduan di Pejabat Agama Islam Jempol berhubung sikap buas suaminya semasa melakukan hubu­ngan kelamin.
Katanya, wanita itu berbuat demikian kerana sudah tidak tahan dengan perangai pelik suaminya yang turut menyebabkannya cedera selepas bersama di ranjang.
“Wanita itu men­dapatkan nasihat pejabat agama dan berharap dapat mencari penyelesaian terhadap tabiat seks suaminya.
“Bagaimanapun, tiada sebarang bantuan diberikan sehinggalah dia bertindak nekad mencederakan suaminya,” kata sumber itu.