Polis membuat pemeriksaan lanjut ke atas kereta Proton Wira yang ditinggalkan suspek di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, 32 tahun, bersama seorang pengawal peribadi syarikat terbabit yang berusia 54 tahun, masing-masing sedang menaiki motosikal berasingan dalam perjalanan ke sebuah bank di Taman Desa.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Shahrul Othman Mansur berkata, pengawal peribadi yang mengikut di belakang runner tersebut pula telah dilanggar oleh sebuah kereta Proton Wira sebanyak tiga kali dan terjatuh.
Menurutnya, runner yang membawa beg galas mengandungi wang tersebut berpatah balik untuk menyelamatkan diri tetapi telah dikepung oleh suspek berkumpulan berkenaan yang turut menunggang lima buah motosikal pelbagai jenis.
“Mangsa terjatuh dan diacukan sepucuk pistol dan sebilah pisau rambo oleh salah seorang suspek.
“Suspek bertindak merampas beg galas tersebut dan melarikan diri. Bagaimanapun, kereta suspek ditinggalkan di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.
Shahrul Mansor memberitahu, runner tersebut mengalami kecederaan di bahagian siku kanan manakala pengawal peribadi itu patah di bahagian bahu kiri akibat dilanggar suspek.
Jelas beliau, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan melalui cap jari yang ditinggalkan suspek serta rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bangunan berhampiran lokasi kejadian.
“Pihak polis sedang giat memburu suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.