NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak ebola sudah berakhir, kelmarin, selepas tiada kes jangkitan baharu dilaporkan di Liberia.
Pengarah Penilaian Risiko dan Tindak Balas Kemanusiaan, Rick Brennan memaklumkan ia adalah peristiwa dan langkah penting yang menandakan Liberia, Sierra Leone serta Guinea kini bebas daripada virus pembawa maut tersebut.
"Tetapi, masih terdapat risiko kemunculan semula wabak ebola pada masa akan datang," katanya.
Difahamkan, pengumuman itu dibuat selepas tiada kes jangkitan baharu dilaporkan sepanjang tempoh 42 hari lalu, susulan daripada pelbagai langkah diambil kementerian kesihatan termasuk melakukan ujian ebola ke atas mayat mangsa selain pengawasan rapi ke atas kes jangkitan  mencurigakan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan kematian terbaharu di Sierra Leone beberapa jam selepas WHO mengisytiharkan Afrika Barat terbabit kini bebas ebola.
Hasil ujian dilakukan ke atas mayat mangsa di utara Freetown menunjukkan ia positif dijangkiti virus berbahaya itu. - al-Arabiya