KUALA LUMPUR - Padah mengugut untuk menoreh dan menyimbah‎ asid ke muka bekas isteri, seorang pembantu kedai makan didenda RM2,200 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.  
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Shahrir Kamarulzaman, 27, selepas tertuduh mengaku bersalah menakutkan secara jenayah melalui khidmat pesanan ringkas kepada bekas isterinya Faiznuraini Mohd Fazi, 25, lima hari lalu.  
Kandungan pesanan ringkas itu berbunyi "ko tunggu ye sial aku simbah asid kat muka ko sial..aku toreh-toreh muka ko dengan pisau, aku bersumpah atas nama ALLAH aku akan buat ko menderita di dunia ini sial".
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Blok G-11-02 PPR Batu Muda, Kampung Batu Muda Jalan Ipoh, Sentul, di sini pada jam 4.40 petang, 13 Januari lalu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Ketika rayuan tertuduh yang diwakili peguam Nasiruddin Nordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya.
Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh. - Bernama