SUBANG JAYA – Berkemungkinan tidak cukup dengan pendapatan diperoleh sebagai tukang urut, seorang lelaki sanggup memecah masuk pejabat serta syarikat berhampiran tempat kerjanya bagi mencari pendapatan sampingan.
Dalam kes pertama, suspek dipercayai memecah masuk sebuah pusat gimnasium di SS15/8 sebelum kejadian disedari pengurus syarikat yang ingin memulakan operasi perniagaan.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, mangsa mendapati beberapa peralatan pejabat termasuk penyedut hampagas hilang dari tempat simpanan kira-kira jam 8.30 pagi, Isnin lalu.
Pengurus berusia 31 tahun itu kemudian meneliti rakaman CCTV dan mendapati seorang lelaki membawa lari peralatan terbabit sebelum kejadian dilaporkan kepada polis.
Pada hari sama, suspek kemudian dipercayai menuju ke sebuah syarikat logistik dan melarikan dua monitor, enam unit pemprosesan pusat (CPU) serta empat cakera keras (hard disk).
Yahaya berkata, eksekutif berusia 38 tahun yang bekerja di syarikat itu mengetahui kejadian selepas dimaklumkan pekerjanya dan syarikat tersebut kerugian hampir RM10,000.
Beliau berkata, hasil rakaman CCTV polis berjaya menahan suspek berusia 29 tahun di tempat kerjanya di sebuah pusat urut di Jalan SS15 sehari selepas kejadian.
Katanya, suspek mengaku mencuri dan menjual barangan tersebut di sebuah kedai membeli serta menjual barangan terpakai di Sunway Mentari.
"Seorang pekerja kedai tersebut berusia 30 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Suspek yang positif dadah jenis methamphetamine juga mengakui menjual sebahagian barang kepada lelaki Pakistan dan warga India masing- masing berusia 38 dan 33 tahun di sebuah kompleks beli-belah di Subang Jaya," katanya.
Yahaya berkata, polis berjaya menemui semula tiga hard disk, enam CPU, dua monitor dan peralatan dipercayai digunakan untuk pecah rumah.
“Kita percaya suspek yang bergerak bersendirian ini terlibat dalam kes pecah rumah di sekitar Subang Jaya, setakat ini polis berjaya selesaikan dua kes,” katanya kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.