SEREMBAN - Seorang pengurus sebuah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, di sini semalam atas 14 pertuduhan menipu seorang lelaki membabitkan lebih setengah juta ringgit sejak dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Liza Azmie Md Darus, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan di hadapan Majistret Mohd Zaki Abd Rahman.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya sehingga mendorong Mohd Shamir Leman, 43, untuk menyerahkan wang secara berperingkat membabitkan jumlah keseluruhan RM645,229.
Mohd Shamir menyerahkan wang melalui beberapa transaksi di tiga bank berasingan di Seremban dan di pejabat tertuduh di Bandar Baru Ampangan, di sini, yang dilakukan antara 19 Disember 2014 dan 13 November 2015.
Berikutan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang setahun hingga 10 tahun, sebat, denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah mencadangkan jaminan RM200,000 kepada tertuduh dengan mensyaratkan paspot diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tertuduh yang diwakili peguam Gurdit Singh bagaimanapun berpendapat jumlah jaminan ditawarkan tidak munasabah dan memohon mahkamah mempertimbangkannya.
Tambahan pula, katanya, semua pertuduhan itu hanya membabitkan seorang mangsa.
Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM80,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan semula kes.