DUNGUN - Tiga lelaki maut dalam nahas jalan raya melibatkan tiga buah kenderaan di kilometer 101, Jalan Kuala Terengganu menghala ke Kuantan, berhampiran Masjid Hadhari, Paka, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.34 pagi itu, ketiga-tiga mangsa yang menaiki kereta jenis Produa Viva maut di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah.
Pemandu kenderaan, Irwan Khalid, 37, maut apabila rempuhan kuat menyebabkannya tercampak ke bahu jalan, manakala dua lagi rakannya Muhammad Rashid Yoon Chow, 48, dan Mohammad Nizan Ismail, 46, tersepit di dalam kenderaan serta terpaksa dikeluarkan oleh pasukan anggota bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Mohamad Jusoh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.44 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
"Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi untuk membantu mengeluarkan mangsa-mangsa yang tersepit.
"Bagi memudahkan anggota kami mengeluarkan mangsa, kita terpaksa menggunakan 'rescue tool' untuk memotong kenderaan," katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superitendan Ahmad Zailani Yaacob berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila Produa Viva dari arah Kuantan menghala ke Dungun hilang kawalan  melanggar pasu bunga dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah lori tangki.
"Selepas pertembungan di antara Produa Viva dan lori tangki, sebuah lagi kenderaan iaitu Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 42 tahun turut terbabas setelah melanggar pasu bunga di atas jalan raya.
"Ketiga-tiga mangsa yang berasal dari Paka maut ditempat kejadian, manakala pemandu lori berusia 51 dan pemandu Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kesemua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.
"Hasil siasatan mendapati keadaan jalan adalah selekoh mempunyai dua lorong dan terdapat penghadang pasu bunga yang dijadikan sebagai pembahagi jalan.
"Punca sebenar kejadian masih dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,"katanya
.