GEORGETOWN - Tiga maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dan Perodua Myvi di Jalan Tetembok Masjid Negeri, di sini awal pagi ini.
Mereka yang maut dalam kemalangan pukul 3.15 pagi itu ialah pemandu kereta Perodua Myvi Muhammad Syaril Azzim Mohd Sabuki, 25, dan penumpang hadapan kereta itu, Nurfaizneey Kamaruzzaman, 25, serta pemandu Mitshubishi Triton Tai Lai Keat, 38.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata  kenderaan pacuan empat roda dari Jalan Masjid Negeri menghala ke Jambatan Pulau Pinang itu dilapor hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.
"Kenderaan itu merempuh kereta Perodua Myvi dan rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu dan dua lagi penumpang tersepit dan kedua-dua kenderaan remuk teruk," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, Muhammad Syaril Azzim, yang merupakan anak anggota polis, dan rakan wanitanya mati di tempat kejadian manakala Tai mati ketika dalam perjalanan ke hospital.
Seorang lagi penumpang Perodua Myvi Mohamad Ezzudin Abdul Wahab, 21, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor kritikal, katanya.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu  tampil membantu siasatan.
Sementara itu, jurucakap bomba dan penyelamat Jalan Perak berkata pihaknya mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan dua mayat yang tersepit dalam kereta Perodua Myvi itu. - Bernama