DUNGUN - Tiga lelaki maut selepas kereta yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 101 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Masjid Hadhari, Paka di sini, hari ini.
Dalam kemalangan 6.34 pagi itu, Irwan Khalid,37, Muhammad Rashid Yoon Chow, 48 dan Mohammad Nizan Ismail, 46 terbunuh di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Nahas itu turut melibatkan sebuah lori tangki dan kereta Proton Wira. Kedua-dua pemandunya selamat dan tidak cedera.
Kejadian itu dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Viva itu, yang dari arah Kuantan ke Dungun, hilang kawalan lalu melanggar pasu bunga di atas pemisah jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.
Susulan itu, kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki dan Proton Wira di arah bertentangan.
Rempuhan kuat itu menyebabkan pemandu Perodua Vivaitu tercampak keluar dari kenderaan.
Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Ahmad Zailani Yaacob mengesahkan kejadian dan berkata siasatan lanjut masih dijalankan.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini. - Bernam
a