Search This Blog

Wednesday, January 13, 2016

Tiga direman kes bayi ditanam



Oleh Ziauddin Sharuddin


NILAI: Tiga individu yang dipercayai terbabit dalam kes penemuan bayi lelaki ditanam di kawasan semak di Dangi, Kuala Pilah, direman empat hari mulai hari ini.
Mereka membabitkan seorang wanita berusia 25 tahun bersama teman lelakinya berusia 22 tahun dan adiknya, berusia 19 tahun.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata mereka disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan, iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit.
"Bagaimanapun, wanita berusia 25 tahun yang dipercayai melahirkan bayi itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, kerana mengalami jangkitan akibat lambat mendapat rawatan," katanya di sini, hari ini.
Bayi lelaki itu mati ketika dilahirkan oleh wanita terbabit di Taman Semarak di sini, Ahad lalu.
Dalam usaha menyembunyikan kelahiran itu, dia bersama teman lelakinya membawa mayat bayi itu dari sini ke Dangi sejauh kira-kira 90 kilometer keesokannya untuk ditanam.
Bagaimanapun, polis yang mendapat maklumat kejadian berjaya menjejaki suspek dan teman lelakinya, lalu menahan mereka bersama adik teman lelakinya di sebuah rumah di Dangi, kira-kira jam 3 petang semalam.
Hasil soal siasat yang dijalankan, pasukan forensik polis menggali kawasan semak berhampiran rumah itu, kira-kira jam 6 petang dan menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat tetapi sudah kecut dalam sebuah lubang.

No comments:

Post a Comment