Search This Blog

Thursday, January 14, 2016

'Tidur dalam debu'

Kota Tinggi: “Tidur pun dalam keadaan berdebu,” kata penduduk asal Kampung Teluk Ramunia, Syed Yahya Syed Ibrahim, 81, salah seorang penduduk yang menjadi saksi kegiatan perlombongan bauksit di situ pada era 1950-an.
Syed Yahya berkata, apa yang dirasai penduduk di Kuantan, Pahang ketika ini sama seperti apa yang berlaku pada masa itu kerana kehidupan harian kira-kira 50 keluarga di kampung berkenaan sentiasa diselubungi debu merah.
“Kalau rakyat Pahang tidak jaga, jangan sampai menyesal kerana kesannya masih ada sehingga ke hari ini, tasik buatan, lumpur sedalam separas pinggang masih kekal di tapak lombong.
“Dulu kubah di Masjid Kampung Teluk Ramunia itu warna asalnya adalah perak tetapi akibat debu yang melekat, ia berwarna seakan kemerahan.
“Jika dulu air laut jernih kebiruan, tetapi apabila ada perlombongan bauksit ia bertukar menjadi merah kerana air cucian bauksit dilepaskan ke sungai dan menjadi mendapan lumpur,” katanya ketika ditemui semalam.
Syed Yahya berkata, akibat tidak tahan berdepan dengan masalah debu merah akibat perlombongan bauksit di situ, penduduk dipindahkan ke kawasan lain yang lebih jauh daripada aktiviti itu.
“Apa yang berlaku di Kampung Teluk Ramunia adalah ketika tahun 1950-an, banyak kawasan yang boleh penduduk dipindahkan. Tetapi sekarang jika nak pindahkan penduduk di Bukit Goh atau Kuantan, ke mana mereka akan dipindahkan,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 9:08 AM


BEKAS tapak perlombongan bauksit di Kampung Teluk Ramunia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107123#sthash.4bwxNIkN.dpuf

No comments:

Post a Comment