Search This Blog

Saturday, January 16, 2016

Tersilap ujian ubat baharu, 6 kritikal di Perancis



MENTERI Kementerian Kesihatan Perancis, Marisol Touraine (kiri) bersama seorang professor klinikal neurologi menghadiri sidang akhbar susulan kes kesilapan dalam ujian percubaan membabitkan rawatan perubatan baharu. - Foto REUTERS
PARIS: Sekurang-kurangnya seorang 'mati' otak, manakala lima lagi kritikal selepas berlaku kesilapan dalam ujian percubaan membabitkan rawatan perubatan baharu, kata kementerian kesihatan Perancis.
Menurut stesen TV Perancis, TF1 semalam, mangsa menjadi sakit dan dimasukkan ke hospital awal minggu ini selepas mengambil ubat percubaan yang dibangunkan sebuah makmal perubatan swasta di utara bandar Rennes.
"Ujian ini dijalankan sebuah kemudahan swasta yang mengkhusus dalam ujian klinikal," kata kementerian berkenaan dalam satu kenyataan.
Tambah kementerian lagi, seorang daripada mangsa kini berada dalam keadaan kematian klinikal.
Kementerian berkata, menterinya Marisol Touraine, ke Rennes semalam untuk melihat sendiri tempat ujian klinikal itu dijalankan.
Media Perancis, BFMTV berkata lapan orang dipercayai mengambil bahagian dalam percubaan itu, dua daripada mereka diberikan placebo (bahan dengan kesan terapeutik digunakan sebagai kawalan dalam menguji ubat baharu). Jumlah keseluruhan yang mengambil bahagian mencecah 90 orang.
Semua ujian digantung dan sukarelawan yang mengambil bahagian di dalam percubaan itu sedang dipanggil semula.
Saluran media, iTele berkata ujian itu adalah untuk ubat penahan sakit yang mengandungi ganja dan dijalankan di sebuah makmal di Rennes. - AGENSI

No comments:

Post a Comment