Othman berkata, dia menyedari rumahnya dimasuki pencuri sebaik sahaja pulang dari masjid kira-kira jam 6 petang dan melihat pintu pagar rumahnya dalam keadaan terbuka.
Bagaimanapun katanya, pintu utama rumah masih dalam keadaan berkunci dan selepas dia memasuki bilik tidurnya, didapati empat pintu almari dalam keadaan terbuka, manakala dompet mengandungi tunai RM200 yang berada di dalam almari itu lesap.
Menurut bapa enam anak itu, disebabkan khuatir pencuri masih ada dalam rumah, dia segera keluar dan menghubungi anak kelimanya, Arief Fadhillah, 26, yang bekerja di Yayasan Islam Terengganu (YIT) Cawangan Kemaman di Chukai supaya balik cepat.
Katanya, anaknya itu tiba setengah jam kemudian dan mereka menemui sebilah golok di atas katil anaknya itu.
“Sebuah telefon pintar jenis Samsung milik anak dianggarkan bernilai RM800 dan duit dalam tabungnya sekitar RM200 turut hilang.
“Melihat tempat pencuri itu masuk...melalui tingkap nako bilik anak bongsu, kami percaya pencuri itu cuma berbadan kecil dan mungkin masih remaja. Cuma 'target' nak curi duit atau barang mudah dibawa dan dijual sebab komputer riba atas katil anak tidak diusik, malah motosikal Yamaha Lagenda yang ada di garaj pun selamat walaupun kunci motosikal ada di ruang tamu,” katanya.
Rumah itu cuma dihuni Othman tiga beranak dan secara kebetulan pada hari kejadian, dia dan anaknya keluar bekerja, sementara isteri yang kurang sihat telah ke rumah anak perempuan mereka.
Berikutan kejadian itu, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Chukai pada jam 2 petang kelmarin.
Menurut Othman lagi, dia bercadang memasang jeriji di semua pintu dan tingkap rumah bagi mengelakkan kejadian sama berulang memandangkan kawasan rumahnya itu sunyi ketika waktu bekerja.
“Selain itu, pihak polis juga diharap kerap lakukan rondaan di kawasan ini kerana kehadiran mereka sekurang-kurangnya dapat menggerunkan penjenayah,” katanya.